Pekan Banjir lagi Tahun ini?
4 daerah diramal banjir besar
KUANTAN 9 Okt. - Banjir besar yang hampir menyamai bencana tahun lalu dijangka berlaku di empat daerah di Pahang bermula minggu kedua Disember tahun ini hingga akhir Januari tahun depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail berkata, empat daerah terbabit ialah Maran, Bera, Pekan dan sebahagian Rompin.
Berikutan itu, kata beliau, pihaknya mengarahkan semua jawatankuasa di peringkat daerah, jabatan dan agensi kerajaan mencari kaedah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang timbul akibat bencana tersebut.
”Langkah-langkah awal perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang sama seperti tahun lalu berulang kembali pada banjir kali ini.”Mereka perlu melaporkan kepada saya hasil mesyuarat yang akan dipersembahkan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas 20 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri 2008 di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.
Sebagai langkah awal, Muhammad Safian memberitahu, pihaknya akan mengkaji semula pusat-pusat pemindahan banjir sedia ada bagi memastikan lokasi berkenaan tidak dinaiki air atau terputus hubungan dengan pihak luar ketika bencana tersebut.
”Pusat perpindahan yang pernah dinaiki air ketika musim banjir tahun lalu kemungkinan tidak akan dibuka semula.
”Berikutan itu, kerajaan berusaha mengenal pasti beberapa lokasi lain yang selamat sebagai penempatan baru mangsa banjir,” katanya.
Langkah-langkah lain yang turut dilakukan, menurut beliau, termasuk latihan intensif selama tiga hari pada bulan depan yang disertai pegawai yang bertugas di pusat kawalan operasi banjir.
”Berdasarkan pengurusan banjir tahun lalu, ada kalangan pegawai operasi yang tidak mempunyai pengetahuan menangani banjir dan gagal berkomunikasi dengan baik dengan mangsa.
”Oleh itu, kita akan menempatkan beberapa pegawai kanan yang berpengalaman untuk mengendalikan pusat perpindahan dan mengelak berlakunya salah faham dan tidak puas hati di kalangan mangsa banjir,” jelasnya.
Safian turut mengingatkan orang ramai mematuhi arahan berpindah lebih awal sebagai jaminan keselamatan selain pengagihan bekalan makanan dapat disalurkan dengan cukup.
”Ada mangsa enggan berpindah kerana sayangkan harta benda tetapi keadaan sebaliknya berlaku dan menyalahkan pihak berkuasa enggan membantu mereka berpindah selepas rumah dinaiki air.
”Saya memohon kerjasama orang ramai supaya akur dengan arahan berpindah dan tidak bersikap degil apabila disuruh meninggalkan kediaman masing-masing,” katanya.
mintak mintak jangan laaaa oiii, tak best banjir banjir ni.